ENTRY ABOUT FACEBOOK INSTAGRAM ASK YOUTUBE +FOLLOW

Tulisanku Kerana Cintaku Pada-mu
Tuesday, December 16, 2014

Hari ni dah hari ketiga selepas tamatnya Daurah Kubra 2014 untuk Pondok Baitul Qurra' Wal Fuqaha. Pondok yang aku kira mencorak sejuta makna dalam hidup aku. Melentur akhlak dan adab dalam diri aku, Mana tak nya, Tahun ni (2014), Sudah masuk tahun ketiga aku jejak pondok tu, Tahun ketiga jugak aku belajar sebagai peserta daurah di situ, dan untuk kedua kalinya aku belajar kitab yang sama, Kitab Fiqh, 'Mukhtasar Latiff'.

Tak hirau aku. Tak pernah jemu ke sana, walaupun belajar benda yang sama. Walaupun menghadap guru yang sama. Walaupun terkadang cerita yang sama. Walaupun, aku yakin bukan kebetulan, lawak yang sama! Tapi tak pernah terdetik rasa bosan di hati ini.

Itulah cinta mungkin. Cinta yang berputik kerana adanya rasa sayang dan suka pada ilmu. Macam Syair Arab, Rehlah Abisah yang kami belajar dalam STAM:

"الحب ما صرف القلوب الى الهوى"
'Cinta adalah apa yang menukarkan hati kepada keriangan' 
Daurah dah tamat pun. Seribu satu kenangan tak mampu nak gambarkan dengan kata-kata. Nanti kalau ada masa lah, Biiznillah nak tulis pun. Hari ni nak fokus satu cerita lain.

Memandangkan dah lama tak update. Bersawang berhabuk dah blog ni, maka sini ada satu cerita yang iktibar dia belum sempat difikirkan lagi. Mungkin kita sama-sama boleh fikirkan.

Masjid Dan Budak Usrah


Hari tu hari selasa.
Tiba-tiba badan Ahmad rasa ringan nak ke masjid untuk solat asar berjemaah.
Maklumlah, semenjak dua ni jadi satu fenomena kemalasan yang tinggi nak berjemaah ni.
Tapi, alhamdulillah Allah gerakkan hati dia. Tanda hati dia belum mati lagi. Syukur.

Ahmad pun ambil kunci kereta, tarik syal (baca:rida') dari ampaian dan masuk dalam kereta. Kemudian, 'engine' dihidupkan dan kereta 'Grand Livina' itu pun dia pacu ke masjid.
Masjid terdekat dengan rumah Ahmad adalah tak sampai dua marhalah. Cuma kena keluar sikit kawasan perumahan dia. Masjid yang namanya agak special, MSU. (Macam Majlis Syura Ulama Pas pulak, kah.)

Kemudian, Ahmad 'park' kereta dia dan masuk kawasan masjid. Memandangkan dia seorang yang agak menjaga wudhu', maka wudhu'nya tadi sebelum ni masih belum batal. Dia ambil pakai kaedah 'istishab' dalam Usul Fiqh' yang dia belajar kat sekolah, maka dia pun masuk dan solat berjemaah sebagai makmum masbuq. Dia tertinggal dua rakaat dari Imam.

Usai, dia beri salam. Imam juga sudah menyapu muka, tanda doa sudah habis dibaca. Makmum jiran (Makmum sebelah) menghulur tangan untuk bersalaman lalu Ahmad sambut dan dia bersalam dengan jiran kiri dan kanannya.

Ahmad memang di didik untuk tidak terus bangun selepas solat. Sudah menjadi rutin dia untuk memastikan diri dia selesai Tasbih, Tahmid dan Takbir 33x setiap satu sebelum doa dibaca dan baru dia bangun dari tikar sembahyangnya.

Pernah ditanya pada Ahmad, bagaimana dia boleh sentiasa pastikan diri dia begitu, dan Ahmad akan beri jawapan pendek yang jika dikira, ia pendek tapi tak mudah:

"Inilah satu-satunya amalan yang aku boleh istiqamah luar solat ni. Zikir Fatimiyyah ni lah. Kalau zikir ni aku tinggal, takde apa dah yang tinggal untuk aku persembahkan pada Allah. Padahal aku selalu mintak macam-macam daripada Dia..."
Ahmad kemudian teringat akan suatu masa dahulu di sekolahnya, naqib usrahnya pernah beritahu dia bahawa sebagai orang Islam yang menggelar diri sebagai pejuang Islam, tidak dapat tidak mesti ada amalan khusus yang dia buat. Ahmad juga teringat akan buku 'Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam' karangan Ir. Ustaz Fathi Yakan yang dibuka naqibnya saat membentangkan buku itu.

"Antara perkara yang menjadi amalan Ahli Ikhwanul Muslimin (IM) adalah membaca Al-Quran minimum satu juzuk sehari dan ianya juga mesti menjadi amalan antum"
Terngiang nasihat ini dalam telinganya.
Lalu Ahmad ambil keputusan untuk membaca Al-Quran.
Targetnya satu juzuk. Satu juzuk Al-Quran atau aku tak balik rumah.

Ahmad menyelak helaian Al-Quran dan mula membacanya. Suaranya yang serak basah, ditambah dengan hidung sebelah tersumbat menjadikan bacaannya kurang merdu seperti biasanya. "Tak kisah, yang penting baca!" gumamnya dalam hati.

Di satu sudut masjid itu, seorang lelaki yang merupakan siak masjid sedang mengunci pintu sekeliling masjid. Dia juga menutup semua kipas keliling masjid dan berarak di dalam masjid sambil membetulkan sejadah yang senget akibat sujud para abid yang sangat lama.

Sampai berdekatan dengan rak Al-Quran di mana Ahmad sedang membaca Al-Quran berhampiran rak itu, lalu ditutup kipas dan kemudian pintu di sebelah kiri Ahmad.

Terdetik dalam hati Ahmad, "Kerja siapa pula yang tutup suis kipas! Tak nampak orang tengah baca Al-Quran"

Al-Quran terus dibaca sehingga 'bunga' tanda satu juzuk sudah pun tamat. Maka, Ahmad menyimpan Al-Quran dan kemudiannya melihat keluar tingkap. Kelihatan 'Siak' itu sedang membersihkan lantai tempat wudhuk masjid dan agak aneh di dapati bahawa 'Siak' tersebut adalah seorang lelaki berbangsa Bangladesh.

Ahmad lalu beredar dengan keretanya, pulang ke rumah....

Antara Watak Dan Lakonan


Baik. Kisah ini ditulis bukan sengaja. Ianya mungkin kerap kali berlaku walaupun watak pelakonnya berbeza dan latar lakonanya tidak sama tetapi apa yang ingin disampaikan adalah satu bentuk mesej dalam masyarakat kita hari ini.

Lihat kembali watak utama cerita ini.

Ahmad: Seorang yang boleh kita kira berilmu juga. Tahu apa itu sunnah. Budak Usrah. Boleh jadi juga budak sekolah agama.

Siak: Rajin. Bukan warga-negara.

Jadi mari kita kritik dua watak yang bermain dalam cerita ini.

Kritikan Terhadap Ahmad

Ahmad seperti yang kita maklum seorang yang berilmu. Kita boleh lihat dia kenakan sunnah ketika mana dia memakai rida' ke Masjid. Juga dapat kita pandang sisi ilmunya pada Zikir Fatimiyyah yang dia istiqamahkan. Ahmad juga Budak Usrah, boleh kita faham sebagai orang yang ditarbiyyahlah kiranya.

Lalu, cuba kita pandang suatu sudut pandang lain tentang Ahmad. Ahmad merupakan seorang yang berilmu, maka sudah pasti dia tahu akan tuntutan ke masjid bagi lelaki. Lalu, mengapa Ahmad sepertinya sangat jarang ke rumah Allah itu?

Ini satu realiti dalam masyarakat kita. Gambaran kecil pada perkara yang lebih besar. Betapa ramainya yang belajar dan tahu hukum agama, tetapi sikit daripad yang tahu itu yang amalkan.
Memang agak tak adil bila kita kata Ahmad begitu. Siapa tahu dia pernah pergi cuma sibuk semenjak dua ni. Tapi pada satu sudut, kita kena telan kebenaran tu. Orang yang belajar agama, tak ramai yang amalkannya. Agama cuma atas buku. Atas lembaran kertas peperiksaan atau agama cuma terpenjara di dalam subjek dan bukan aplikasi hidup.

Kritikan Terhadap Siak

Siak pulak seorang bukan warganegara. Pelik bukan? Macam mana satu kawasan yang punyai masjid, yang sudah pastinya ada 40 orang muslim yang bermastautin di situ, kalau tak mana boleh dirikan solat jumaat. Dan yang bermastautin itu pasti dan pasti majoritinya adalah orang Melayu-Islam. Dah kenapa yang siak orang bukan Melayu? Bahkan bukan warganegara.

Satu kerja murni untuk dia berkhidmat sebagai siak. Tak dinafikan yang itu. Tapi ini satu lagi persoalan yang aku kira boleh jadi suatu kesimpulan untuk satu realiti. Mana pergi orang Islam yang warganegara? Mana pergi orang Melayu- Islam?

Diorang sibuk kerja, sibuk jadi doktor, sibuk dengan kerja yang lebih besar dari tu. Oh, takkan daripada 100+ ahli kariah semua sibuk dengan profession masing-masing? Tahniahlah. Alhamdulillah masih ada lagi orang bukan Malaysia yang nak bersihkan masjid. Kalau tak? Naudzubillah, apa jadi kat masjid entah.

Siapa Salah?

Sini dapat sebenarnya kita 'figure' siapa yang sepatutnya dipertanggungjawabkan.

Pandangan peribadi ambe, yang sepatutnya menjadi siak adalah dari kalangan orang muda. Orang muda kuat-kuat lagi. Sepautunya mereka yang perah keringat bersihkan rumah Allah tu.

Ok. Sekarang salah pada orang muda.

Lalu sekarang cuba tengok balik cerita tadi, apa yang jadi pada Ahmad bila dia baca Al-Quran?
Kipas dia? ....


Kipas dia ditutup. Dan untuk seorang yang normal, kipas yang ditutup sedikit sebanyak menanam rasa tak suka kita pada orang yang menutup. Dan jika yang menutup itu adalah siak, maka bukankah ianya akan secara tak langsung menanam rasa tak suka Ahmad pada Masjid tersebut?

Nah. Jadi, nak salahkan siapa pulak sekarang, orang asing?

Dia tak mahir bahasa kita. Mungkin jugak susah nak berkomunikasi walau bertegur sapa pun dengan kita. Jadi salah dekat dia lagi?

Jadi sekarang nak salah ke siapa pulak?

Anak muda makin jauh dari masjid kerana siak, siak pulak tak mampu buat apa-apa sebab bukan orang kita .....

Muhasabah Titik Mengubah.


Titiknya apa?

Titiknya salahkan lah diri sendiri.
Kalau kau anak muda, kenapa kau sendiri tak nak volunteer jadi siak?
Kenapa kau malas nak ke masjid? hatta walaupun kau Budak Usrah? Budak Sekolah Agama?

Kalau kau Orang Masjid,
Agaknya kenapa budak-budak tak nak pergi masjid?
Sebab yang 'conquer' masjid tu orang tua. Bukan masalah orang tua, tapi masalah daya penarik tu takde. Nak kata majlis ilmu? Tak hidup pun. Kalau hidup pun mengantuk.

Kalau kau Warga Asing (Siak),
Kau tak bersalah. cuma lepas ni bagi orang muda buat kerja tu.
Latih diorang. Tarbiah sikit diorang.
Dan jangan tutup kipas orang bila orang tengah mengaji.

Iktibar buat semua.
Juga kembali pada diri yang hina ini.
Sengaja mengkritik sebab dah lama tak mengkritik ni.

Maaf salah silap. terkasau terlebih.
Lapang dada semua :)

4:23 AM
17/12/14
 
 

0 comment[s] | back to top