ENTRY OWNER FACEBOOK TWITTER ASK +FOLLOW

Sesungguhnya البغاث di Negeri Kami Sudah Menjadi النسر di Negeri Orang
Sunday, December 13, 2015

"Hari ini helang sudah terbang,
Jika suatu masa dahulu helang dikatakan terperangkap di dalam sangkar,
Maka ketahuilah hari ini helang telah terbang.
Terbangnya helang meninggalkan sangkar,
 Sangkar yang dahulunya bersama-sama anak-anak pipit yang lainnya membesar dan berlatih.
Teori dan amali.
Praktikal dan realiti.
Akhirnya hari ini, setelah latihan hampir 2 tahun,
Pipit sudah bersedia menjadi helang yang bakal terbang membawa diri."



Suatu quote yang sangat masyhur yang hampir setiap hari kita bacakan,
Juga kita ulang-ulangkan dalam tazkirah kita, kita pesan-pesankan pada sahabah sahabiah kita,
quote yang kita kira sangat bermakna, antara cetusan idea yang membakar semangat kita,

Ya. itulah perkataannya...


إن البغاث بأرضنا يستنسر
"Sesungguhnya pipit di bumi kami sudah menjadi helang" 



Kalam inilah yang kita julangkan. Perumpamaan besar yang pelbagai tafsiran padanya. Setengah mengumpamakan dengan produk keluaran Bumi Waqafan ini. Mereka yang masuk ke bumi waqafan di umpamakan sebagai pipit yang kemudiannya akan keluar dari bumi itu dengan harapan besar menjadi helang yang sangat gagah perkasa.

Tetapi setelah sekian lama kita terus membahasakan mereka yang keluar itu sebagai 'helang', adakah benar kita yakin النسر itu adalah helang? atau benarkah البغاث itu adalah pipit? Lalu jika النسر adalah helang, maka apakah sifat helang yang di bangga-banggakan itu?


Tidak mengapa. Insha Allah kita fikirkan bersama sedikit jawapan untuk persoalan ini :)

Satu Perkataan Banyak Kalimah

Bahasa Arab adalah suatu bahasa yang sangat indah dan sangat kaya. Ini suatu hakikat yang sangat terbukti kebenarannya. Bukan sahaja cantik pada uslub (gaya bahasa) dan balaghahnya (retoriknya) sahaja, bahkan pada keluasan perkataan dan maksudnya juga sangat mengujakan.

Oleh kerana itu, kalimah semisal kalimah duduk dalam Bahasa Melayu, jika diterjemahkan dalam Bahasa Arab maka yang terdekat dan paling biasa, ianya akan diterjemah kepada kalimah َجَلَس yang membawa maksud duduk. Tetapi kalimah duduk juga boleh diterjemahkan dengan kalimah lain iaitu َقَعَد yang juga membawa maksud duduk dan mungkin terdapat banyak lagi kalimah yang boleh diterjemahkan hanya untuk memberi maksud yang sama iaitu duduk. Dan setiap satu kalimah itu membawa maksud yang berbeza.


Begitulah keindahan bahasa Al-Quran dan bahasa Rasulullah S.A.W. ini. Maka pada saat ini tahulah kita bahawa satu perkataan dalam Bahasa Melayu boleh membawa kepada banyak kalimah yang mempunyai maksud yang sama dalam Bahasa Arab.

البغاث itu Pipit?

Burung Pipit

Jadi, kita kembali semula kepada perkataan 'pipit' ataupun 'البغاث' dalam quote yang kita selalu gunakan ini. Pipit merujuk kepada Wikipedia merupakan sejenis famili burung kecil dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan pipit antaranya Burung Pipit Raya, Burung Pipit Rumah, Burung Pipit Kepala Hitam, Burung Pipit Kepala Putih, Burung Pipit Batu dan lain-lain kumpulan burung pipit.

Jadi apakah itu البغاث ?

Ini yang disebutkan sebagai 'النثر الرومي'

Adapun البغاث di dalam bahasa arab adalah di panggil النسر الرومي yang juga disebut dalam Bahasa Inggeris sebagai Turkey Vulture. Juga dikenali di timur Amerika sebagai الصقر ataupun الصقر الرومي. Adapun di kenali di sebelah lautan Carribean sebagai غراب جون atau غراب الجيف

Beberapa fakta yang menarik mengenai البغاث adalah ialah tempoh hidupnya hanyalah sehingga 17 tahun disamping beratknya yang lebih kurang 2kg dan lebar sayapnya antara 1.5m hingga 2m panjang.

Jadi dapatlah kita simpulkan secara ringkasnya bahawa pada hakikatnya البغاث juga adalah jenis daripada helang. البغاث merupakan seekor burung yang besar yang tingginya sahaja mencecah 62 ke 81cm dengan panjang kepaknya dari 160cm ke 183cm.




Maka jelaslah di sini البغاث hakikatnya bukanlah seekor pipit (seperti gambar sebelumnya) kerana pipit di dalam bahasa arab adalah العصفور. Walaupun begitu, apakah ianya akan menjejaskan maksud daripada quote yang indah ini? Mari kita ikuti perbincangan seterusnya.

Kalau kita cari البغاث di internet, kita akan jumpa yang ini!


النسر Si Helang

Inilah النسر - Si Helang

Kalimah ini sudahpun digunakan pada perbahasan kalimah البغاث sebelum ini dan sudah ternyata maksud النسر sebagaimana yang kita ketahui adalah bermaksud helang. diterjemahkan النسر dalam bahasa inggeris kepada Eagle. Walaupun begitu, bukanlah terjemahan yang tepat untuk النسر tetapi Eagle lebih membawa maksud العقاب sedangkan terjemahan yang tepat untuk النسر adalah Vulture dengan disifatkan oleh penyifatan orang arab.

Adapun النسر biasanya akan membunuh diri mereka sendiri dari menunggu kematian dan kebiasaan umur mereka adalah 40 ke 100 tahun. Dan disifatkan النسر ini sebagai simbol kebebasan, kekuatan badan dan kecerdikannya.

Baiklah, jadi dapat kita simpulkan bahawa البغاث dan النسر agak sedikit berbeza daripada apa yang kita fahami selama ini. Adapun begitu, yang diterangkan di atas adalah takrifan bahasa bagi kedua-duanya bersumberkan rujukan Wikipedia.

Dan tidaklah pula saya bercadang untuk membahaskan perkara ini lebih panjang, cuma di sini ingin  pula saya kongsian makna kedua haiwan ini daripada ahli lughah (pakar bahasa arab)


Ahli Lughah menyatakan bahawa البغاث membawa maksud seekor burung yang bukan dari kalangan burung bangkai yang disifatkan perlahan terbangnya. Ianya juga seekor burung yang sejahat-jahat burung dan tidak boleh disembelih dengannya. Dan juga disebutkan البغاث sebagai burung yang kecil.

Adapun النسر ialah burung yang liar (predator), yang tidak boleh dimakan melainkan pada yang dharurat. Ia tidak memiliki kuku cakar bahkan cuma kuku biasa. Dan kuku-kukunya tidak kuat (mampu) mencederakan dan ia cuma digunakan untuk membawa mangsanya.

Juga para ahli lughah menyatakan bahawa البغاث adalah muqabalah (lawan) bagi النسر dalam ilmu balaghah. Sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa syair arab.

-----

Selesai di situ perbincangan البغاث dan النسر dari sudut bahasa yang berjaya kita ketengahkan. Mudah-mudahan Allah mudahkan pemahaman kita.

Dapat kita fahami bahawa البغاث itu bukanlah hakikatnya seekor pipit (sebagaimana saya dulu sangka ianya pipit) akan tetapi ianya sejenis helang juga, yang lebih kepada jenis helang yang kecil yang sejahat-jahat burung (أشرار الطيور). Helang النسر pula adalah sejenis helang yang lebih tepat disebut Vulture atau burung bangkai jika diterjemah pada bahasa kita kerana ia tidak berkuku tajam seperti helang yang berkepala botak atau dikenali sebagai 'bald eagle' oleh orang Inggeris.

Sekarang kita akan fokuskan kepada makna daripada qaul yang penuh bermakna ini, iaitu kenapa البغاث menjadi النسر dan bukan jenis helang yang lain.


لماذا البغاس والنسر؟
Kenapa Pipit dan Helang?


Seperti yang telah kita sebutkan tadi bahawa البغاث adalah burung kecil yang jahat. Baiklah, mungkin daripada kedua penyifatan inilah maka diletakkan ayat ini untuk menjadi tatapan semua pelajar Kolej Islam. Dua fokus utama inilah yang sewajarnya digarap oleh semua pelajar bila mana mereka membaca dan merenung ayat ini.

Kecil

Mungkin mesej yang cuba disampaikan daripada qaul ini adalah berkaitan dengan kecilnya mereka yang masuk kedalam Bumi Waqafan yang disamakan dengan kecilnya sifat البغاث. Sememangnya semua mereka yang singgah ke Bumi Waqafan sebagai pelajar adalah kecil asalnya. Walaupun tidak dinafikan ada mungkin beberapa daripada kalangan mereka yang dari Tingkatan 3 merupakan istilah orang 'big-shot' ataupun 'orang hebat' sekolah lama, tetapi, apabila melangkah sebagai pelajar tingkatan empat atau tingkatan enam bawah di bumi itu, maka pastinya dia akan merasakan dirinya kecil kerana suasana persekitaran Kisas (bi'ah solehah) dan hubungan antara senior-junior yang sangat berbeza dengan sekolah lama mereka.

Jadi, inilah mungkin mengapa ditasybihkan (diumpamakan) mereka yang masuk kedalam bumi itu sebagai mereka البغاث kerana mengambil saiz dan bentuknya yang kecil

Jahat

البغاث disifatkan sebagai burung yang sangat jahat (أشرار الطيور) kerana sifat jahatnya.(saya sendiri tidak pasti apakah yang menyebabkan ianya digelar sedemikian) Akan tetapi kejahatan yang ada pada burung ini sinonim dengan mereka yang memilih bumi waqafan sebagai destinasi pentarbiyyahan di situ.

Tidak dinafikan daripada pelajar Kisas adalah daripada para pelajar yang baik-baik dan yang bukan sahaja cemerlang akademiknya bahkan sahsiahnya juga cemerlang selari dengan kokurikulum dan kokorikulumnya. Akan tetapi tidak akan dapat dinafikan seorang pun daripada kita jika dikatakan bahawa, walaupun sebelum masuk Kisas sudah termasuk dari kalangan orang yang baik, tetapi bila keluar Kisas sangatlah berbeza baiknya dengan sebelum masuk Kisas. Jangan bohong diri sendiri. Sememangnya begitulah, walaupun sejahat mana pun sejarah silam kamu sebelum masuk ke Bumi Waqafan, kamu tetap akan dilayan sama rata dan akan menerima layanan yang sama seakan kamu orang yang baik, kan?

Maka dengan sebab itu disifatkan mereka yang masuk ke Kisas sebagai البغاث kerana sinonimnya kejahatan pada diri mereka. Sebab kejahatan itu ukurannya adalah abstrak. Setengah perkara yang dilihat jahat oleh penjual ayam dilihat tidak jahat mana di mata seorang pencuri ayam. Tetapi yang pasti diri itu masuk dengan kejahatan dengan harapan keluar dengan kebaikan.

Dan kenapa daripada bumi kami kemudiannya lahirnya النسر ?

Ini adalah kerana النسر atau helang itu ianya bersifat dengan kuatnya badan, dan gahnya serta cerdiknya ia. Maka dengan penyifatan ini saya kira, bertepatan dengan kehendak sekolah untuk melahirkan القادة المتقين والمثقفين iaitu Pemimpin yang bertaqwa dan berthaqafah (berilmu).

Jill Muttaqin Dan Muthaqqafin


Demi menggalas harapan besar para ulama terdahulu, menghargai jerih payah mereka mengelilingi tanah melayu untuk mengutip sumbangan bagi mendirikan universiti agama pertama untuk orang Melayu dan menyampaikan hasrat mereka melihat Islam tertegak di bumi Malaysia tercinta ini, maka elok kiranya kita bersama melihat kalam ini dengan pandangan hati dan memahaminya.

Mudah-mudahan Allah gerakkan hati mereka yang belum faham untuk faham, mereka yang sudah faham untuk beramal, mereka yang beramal untuk berjuang, mereka yang berjuang untuk istiqamah dan mereka yang istiqamah kekuatan untuk menyebarkan kefahaman ini dan mudah-mudahan Allah capaikan cita-cita kita bersama melihat Bumi Waqafan terus tegak berdiri menjulang kalimah Islam di mata dunia. Amin.

Dan bukanlah tujuan ditulis semua ini untuk menyanggahi pendapat sesiapa berkenaan maksud ayat ini. Dan bukan juga diminta untuk ditukar terjemahan ayat ini atau yang semacam dengannya tetapi jauh sekali di sudut hati ini ingin agar bersama ditelitikan dan dirasakan sifat kedua haiwan ini yang besar maknanya pada jiwa mereka yang diumpamakan dengannya.

 Wallahua'lam.

0 comment[s] | back to top