ENTRY ABOUT FACEBOOK INSTAGRAM ASK YOUTUBE +FOLLOW

Usrah Dan Aku
Friday, January 8, 2016

Oleh kerana rindu, sengaja aku coretkan, mudahan bermanfaat.



Aku masih sedang bersandar di tepi dinding kuning pudar itu. Masih sedang memecut laju Al-Kahfi kerana masih berbaki beberapa ayat yang tidak sempat ku habiskan hari ini. Maklumlah, kelas sepanjang hari ini sungguh full. Badan ini sudah lesu tidak berdaya. Azan maghrib kemudiannya kedengaran, serak-serak basah azan mendayu. Menandakan waktu Al-Kahfi sudah tamat dan sudah bermula hari yang baharu.

Di Bumi Waqafan ini kami punyai waktu senggang antara azan dan iqamat. Dan kebiasaannya waktu itulah semua pelajar meluru turun ke Musolla. Ada juga yang waktu itu mengejar Al-Quran untuk dibaca, maklumlah selepas maghrib kelas tambahan sehingga 10.30 atau 11 malam. Tak terkejar nak baca Al-Quran. Tidak kurang juga mereka yang memanfaatkan masa dengan bertanya khabar sama kawan-kawan dan menghela nafas rehat untuk hampir setengah hari belajar.




Bilal lain berdiri di tengah-tengah saf hadapan. Menarik nafas lalu membunyikan iqamat. Bilal kami sering bertukar kerana azan di mikrofon lain, manakala iqamat pula di mikrofon Musolla. Berdirinya masing-masing saling membahu merapatkan saf menyahut seruan imam. Imam juga bukan imam tetap. Kami punyai jadual imam dan bilal tetapi jarang sekali dipatuhi dek kerana masa, kadang imam itu free, tetapi kadang tidak pula. Yelah, kita merancang, Allah merancang, dan Allah sebaik-baik perancang (cliche). Maka kami raikan sahaja sesiapa pun boleh ingin menjadi imam, sedap tak sedap suara bukan kiraannya asalkan akil baligh, nah khalas!

Usai imam memberi salam, kami berwirid bersama, wirid pendek yang kemudian disusuli dengan makthurat. Memang menjadi amalan pejuang-pejuang Islam melazimi mathurat dan menjadikan amalan harian mereka. Maka kami yang belum pejuang ini seperti mengambil semangat baru dengan Al-Mathurat yang dibaca. Kalaupun ada yang terlalu khusyuk sehingga tunduk menyembah bumi (baca:tidur) tetapi pastinya punyai bahagian dia berada bersama dalam majlis zikir itu.

Jam saiko Musolla. Terutama bila liqo'

Imam menyambung dengan doa dan diaminkan semua termasuk sahabat-sahabat yang khusyuk tadi. Kali ini mereka khusyuk pula mengaminkan doa. Sekejap menangguk dan sekejap lagi tunduk. Hanya suara imam di speaker dan bunyi kipas didengari sewaktu doa.

Oleh kerana hari itu Sayydul Ayyam, maka aku berdiri dan bergerak ke ruang hadapan Musolla. Semua sudah maklum, hari jumaat itu bukan sekadar Sayyidul Ayyam di Bumi Waqafan.. Hari jumaatlah hari yang sangat menyeronokkan kerana hari jumaat adalah hari potong kuku, hari membaca surah Al-Kahfi, hari qailullah (baca: rehat time khutbah) dan bukan sekadar itu sahaja, jumaat juga lah harinya tiada prep malam, hari outing dan malam usrah.

Kesemua gabungan event-event ini menjadikan jumaat hari yang kami nanti-nanti. Part paling best pada jumaat adalah Usrah. Dan part paling sedikit tidak best adalah pada part mengendalikan usrah. Aduih.

Selaku Exco Usrah untuk Badan Dakwah Dan Rohani (Badar), tidak dapat tidak memang sudah menjadi tanggungjawab aku menyelia dan menyusun usrah pelajar Kolej ini. Dan syukur Alhamdulillah, memang sudah maklum oleh semua warga sekolah bahawa malam jumaat (malam hari jumaat) adalah malam usrah, jadi tiada halangan oleh mana-mana pihak untuk mengadakan aktiviti lain selain usrah. Alhamdulillah.

Bahagian daripada kerja yang berat bagi mereka yang menguruskan usrah ini adalah pada waktu usrah dan waktu sebelum malam jumaat. Pengisian usrah kami berdasarkan buku Bingkisan Daie Waqafan, buku tradisi yang disusun oleh abang-abang Badar dahulu yang banyak membantu dalam pentarbiyyahan pelajar di sini. Oleh kerana pengisian buku ini adalah terlalu ringkas, sedikit huraian dan contohnya, maka menjadi tanggungjawab orang yang menyelia usrah juga menyelia nuqaba untuk memikirkan huraian tambahan berserta contoh untuk setiap kali program usrah mingguan kami. Dan perkara ni lah yang agak berat untuk difikirkan sendiri untuk orang yang faqir seperti hamba ini.

Tidak lain dan tidak bukan, penyelesaiannya adalah mengajak orang lain tolong fikirkan. Jadi mangsa pemikir wajib adalah saudara sebilik lah. Tambah pula idea-idea daripada idealis dan pemikir ummah dari kelas STAM maka itulah persiapannya. Aku juga sedikit sebanyak perlu mencorakkan flow-line untuk usrah agar nuqaba' semua medapat tasawwur atau idea awal macam mana nak conduct usrah.

Aku berdiri di tengah dan seperti biasa, mengarahkan semua sahabat-sahabat nuqaba berkumpul di bilik komputer manakala pelajar lain akan terus dengan program Tahsin Qiraat. Walaupun jujurnya aku nampak sistem ini sememangnya lemah kerana tiada siapa yang memantau acara tahsin ini tetapi tidak dapat dielakkan, aku perlukan mengumpul nuqaba dan memberitahu apa yang akan dibentangkan untuk usrah atau usrah akan bercelaru. Pada bercelaru bukan aku tidak mempercayai para nuqaba. Aku yakin semua nuqaba yang dilantik itu, masha Allah, ulama-to-be belaka. Semua mujaddid-mujaddid ummat. Tetapi sistem pengisian yang tersusun itu lebih utama, kerana kita punyai matlamat lebih besar daripada sekadar berusrah dan mengisinya dengan perkongsian.

Untuk jujur, aku thiqqah dengan nuqaba dan aku yakin mereka sudah tinggalkan usrah mereka dengan ada orang yang mampu incharge untuk urusan tahsin itu. Begitu juga usrah aku. Ana thiqqah dengan antum.

Nuqaba berkumpul dan briefing akan berjalan. Longgokan penambah baikan usrah juga sentiasa dilontarkan oleh para nuqaba yang hebat-hebat seiring tambahan-tambahan untuk mencantikkan lagi perjalanan usrah yang bakal dijalankan selepas isyak itu. Komitmen para nuqaba sentiasa padu yang membuatkan sayang dan cinta itu terikat dibawah majlis perbincangan nuqaba ini.

Kami akan berjemaah isyak dan kemudiannya selepas ba'diah isyak, bertebaranlah para nuqaba bersama anak-anak usrah mereka. Macam-macam gaya usrah akan kamu jumpai jika kamu berada pada malam usrah. Dengan pengumuman yang gah seperti terjahan general perang memanggil anak buah yang masih belum hadir ke usrah. Tidak kurang juga ada yang memberitahu lokasi usrah mereka seolah seorang kordinator membaca lokasi kapal terbang. Kelakar.


Untuk mereka yang berasa selesa dengan usrah dibawah aircond, maka tiada tempat lain diburu melainkan di dalam musolla, betul-betul dibawah buaian angin penghawa dingin yang semakin kurang dinginnya hari demi hari. Bagi mereka yang berhasrat mengajak mentadabbur alam, maka di Dataran Jundiyy itulah tempat duduk mereka. Kawasan lapang bersimen yang hanya disirami cahaya spot-light itu sangat menarik untuk di jalankan muhasabah sambil usrah, kata mereka. Bagi setengah nuqaba yang menginginkan ketenangan atau private time, mereka akan menghantar perisik-perisik (baca: anak usrah) untuk pergi memantau kekosongan lobi-lobi floor. Jika line-clear, maka usrah mereka pun bermula di situ.


Malam usrah juga malam ukhuwwah untuk apa yang kami percayai. Malam usrah pastinya adalah malam paling untung buat Ayie. Ayie selaku agen pembekal makanan tambahan yang sangat cekap dan pantas kerjanya adalah buruan semua pelajar yang mengadakan makan-makan dalam usrah mereka. Dipercayai makan-makan adalah antara cara terbaik merapatkan ukhwah sesama ahli usrah dan terbukti pelajar Kisas memang mengamalkannya. Ayie akan datang dengan berplastik-plastik polistrin makanan menaiki motornya. Jeritan ordernya akan kedengaran bergema sehingga ke blok Khalid iaitu blok hujung sekali berwarna biru. Berlari-lari agen-agen dari macam-macam usrah mengambil order masing-masing.



Usrah biasanya akan tamat pada jam 10.30 malam dan biasanya akan bersambung dengan acara makan-makan dan sembang-sembang sesama ahli usrah. Memang begitulah rutinnya hari jumaat di Kisas. Hari yang paling merehatkan untuk sesetengah pelajar dan hari yang sungguh seronok di Kisas.


Dan waktu itu adalah sekarang. Dan ambe yang menulis ini sangat merindui waktu itu. Walaupun ambe antara orang yang berasa terbeban pada hari itu, tetapi semua beban itu hilang bila bersama dengan usrah. Maka ambe sangat sayang akan usrah.

Ambe pernah pegang dua kali usrah di Bumi Waqafan dan masing-masing berbeza pengalaman yang ambe rasa bila ambe menjadi penyelia usrah pula.

Aku sebenarnya sedih apabila mutakhir ini orang melihat usrah sebagai sekadar program mingguan atau acara bulanan. Lebih sedih bila usrah menjadi medan tajnid (pengkaderan) semata-mata. Pada aku realiti usrah bukanlah sekadar acara kosong. Mungkin ada dari kita menganggap usrah sebagai medan menjalin ukhwah. Aku kurang bersetuju kerana aku nampak usrah lebih dari itu.


Jika dikatakan usrah itu medan ukhwah semata, maka aku katakan lebih baik kita adakan reunion -atau liqa. Pasti ukhwah terjalin. Tak terikat pada adab-adab usrah dan macam-macam pengisian boleh diselit juga dalamnya. Maka ukhwah mungkin boleh didapati dalam usrah, tetapi bukan matlamat utamanya usrah itu untuk menjadi medan ukhwah. Dari usrah, sembang-sembang lebih dekat dengan ukhwah. Dalam usrah mungkin sukar untuk bertanya mendalam tentang keluarga dan peribadi seseorang tetapi dalam sembang, jauh mana pun boleh selagi orang yang disembang itu rela memberitahunya.

Aku jugak tidak setuju jika usrah itu matlamatnya adalah untuk medan menuntut ilmu. Jika menuntut ilmu itu perkara yang kamu memang hendak buru dalam usrah, maka kamu sudah tersilap. Talaqqi adalah medan menuntut ilmu yang paling baik. Mengaji di kuliah, madrasah dan ceramah-ceramah itu caranya menuntut ilmu. Usrah bukan medannya menuntut ilmu. Itu sebab aku tidak setuju mereka yang berusrah tetapi membincangkan perkara khilfiyyah sehingga hampir satu usrah itu penuh dengan perbincangan khilafiyyah semata. Bukan usrah lah medannya untuk perbincangan begitu.

Aku lebih cenderung dengan memahami usrah sebagai medan membentuk manusia. Pada aku usrah adalah medan membentuk fardhul muslim. Fardhul Muslim atau individu muslim sebagaimana yang disusun dalam Maratib ul-Amal oleh Imam Hassan Al-Banna rhm adalah asas kepada pembinaan semula Islam dalam negara, daerah, sekolah, mahupun keluarga. Dari usrah akhlak dibentuk. Dari usrah ibadah diperbetul. Dari usrah kefahaman akidah difahami dan diaplikasi dalam hidup. Naqib tujuannya adalah memantau dan membimbing kearah pembinaan fardhul muslim. Itu yang sepatutnya.

Maka kesilapan yang perlu diperbaharui bersama jika dikatakan usrah itu medan lain seumpama yang disebutkan di atas dan naqib memahaminya seperti itu. Jika difahami sebegitu, maka naqib akan lemah. Tidak mampu. Banyak alasan untuk tidak datang dan memimpin usrah. Kerana mereka merasakan usrah cuma satu program biasa. Sedangkan usrah sepatutnya seperti satu pokok yang sentiasa kena dipantau kering suburnya, sentiasa perlu disiram jika kering, perlu dicantas jika layu daun-daunnya, perlu dibaja jika lambat pembesarannya, perlu diperhati daripada haiwan-haiwan perosak.

Alangkah indahnya jika pemahaman usrah kita seperti ini bukan?

Ahli usrah juga akan sentiasa makin suka ke usrah. Kenapa? kerana mereka berasa dihargai. Mereka berasa mereka boleh bergantung pada nuqaba dan usrah mereka. Mereka berasa disayangi dan mereka juga menyayangi usrah. Dengan usrah mereka membeza jahiliyyah dari Islam. Dengan usrah mereka belajar aplikasi segala ilmu agama yang mereka pelajari.

Masha Allah.
Makanya kita berdoa sentiasa mudahan Allah sentiasa ikatkan diri kita bersama usrah. Dan usrah tidak berhenti sehingga ke mati kita. Dan mudahan kita juga berubah dengan usrah kita.

Amin.

Rindu Kisas ~

9.22 p.m.
8 Januari 2016,
Bilik,
Baiti Jannati
Sungai Buloh,
Selangor.

0 comment[s] | back to top