ENTRY ABOUT FACEBOOK INSTAGRAM ASK YOUTUBE +FOLLOW

Berkenalan dengan Mesir
Friday, December 9, 2016

                -Posting ini saya tulis lebih kurang sebulan yang lalu tetapi baru hari ini berkesempatan di update-


               Alhamdulillah, pagi ini, 10 November 2016, Allah masih rezekikan saya untuk menyambung penulisan saya untuk blog ini. Rasanya sudah sekian lama tiada khabar berita dek kerana disibukkan dengan urusan-urusan dunia yang tiada berkesudahannya. Dari hari pertama bermusafir ke Mesir sehingga sudah hamper empat bulan berkelana di sini, terlalu banyak jika ingin dicoretkan segalanya… tetapi cukuplah untuk digambarkan dengan dua perkataan bahawa; MESIR SERONOK!!!

                Daripada tiba di bumi anbiya ini, dengan debu pasir yang memedihkan mata, sekali sekala menyesakkan dada untuk bernafas dengan elok sehinggalah ke budaya masyarakat di sini. Saya menyaksikan segalanya. Saya juga memerhatikan segalanya. Dari gelagat ‘ustaz-ustazah’ orang Melayu kita sehinggalah kesopan-santunan saudara-saudari muwafidin (baca: pendatang asing) yang lain, semuanya dengan berbagai ragam dan rupa.


                Sekali sekala jika kamu berhenti di tepi jalan, berdiri atau duduk melihat gelagat manusia, kamu akan temui dan rasai ini; kereta-kereta di Mesir memecut laju berlumba siapa sampai dahulu, tidak cukup ditekannya minyak, ditekannya juga hon seolah lazim-malzum (baca:melazimi) hon itu dengan tekan minyak. Dalam kekecohan pekikan hon itu, kamu akan lihat Yusto (pemandu-pemandu) tremco-tremco (gelaran untuk van awam di Mesir) berebut-rebut memanggil orang untuk naik bersama mereka. Setengah menjerit dan setengah lagi cuma berdiam dan mengangkat isyarat tangan; menunjukkan tempat-tempat yang dituju.

Yang dipanggil Tremco itu


Itulah roti yang bernama I'sy dijual di atas lantai tepi jalan!

                Sambil kamu menikmati suasana berdebu dengan angin pusar yang kadang memedihkan hidung dan tekak kamu, kamu akan disajikan pula dengan pejalan-pejalan kaki daripada orang arab Mesir. Setengah mereka, berjubah dan berpurdah, setengah lagi memakai kot kemas dan yang perempuan bertudung lilit sekadar syarat berjalan menuju matlamat yang dituju. Terkadang kamu akan melihat ammu (baca: pakcik) menjunjung satu alas kayu ala-ala pengangkat orang sakit tetapi bukan pesakit di atasnya, cumalah roti yang dipanggil I’sy di sini. I’sy yang menjadi makanan ruji rakyat Mesir ini boleh didapati di mana-mana dengan harga 4 roti ini dibeli dengan satu genih duit Mesir (satu genih= 0.50 sen lebih kurang).

                Kamu kemudiannya akan melihat di sisi jalan, kedai-kedai kopi yang dipenuhi ammu-ammu dan hag-hag (baca: haji (orang tua)) arab. Kedai-kedai kopi tempat melepak orang arab ini seakan kedai mamak di Malaysia dengan perbezaan tiada mamak di dalamnya dan orang tidak minum melainkan kopi dan syai (teh) sambal menyedut syish (baca: syisya) arab yang baunya sangat busuk dan kurang menyelerakan.


                Di satu sudut lain pula kelihatan sebuah kedai bergantungan buah-buahan di depannya, setengahnya buahan yang kelihatan hampir rosak kerana tidak disimpan di dalam perut (makan). Kedai Asir (baca: Kedai jus buah-buahan). Kedai ini lah yang menghimpunkan semua hati-hati manusia. Kedai yang pada malam hari menjadi tumpuan para wafidin untuk berehat selepas sehari yang memenatkan kononya. Dengan pilihan asir (baca: jus) yang pelbagai, rasa jus ini mampu mengubat lenguh sengal otot-otot yang menegang semasa berebut atau berlari untuk mengejar bas. Pusat jalinan ukhwah bagi kebanyakkan wafidin. Terkadang duduk sambil berbincang masalah ummat, terkadang duduk bersembang setelah lama tidak berjumpa dan macam-macam lagi sebab kenapa dinamakan ia pusat jalinan ukhwah bagi kami. Bahkan saya kira, ubat paling mujarab untuk ukhwah adalah duduk dan minum di kedai asir :D


                Inilah gambaran am kehidupan di Mesir, bahkan apa yang saya gambarkan ini mungkin tidak sampai 10% daripada realiti gambaran keseronokkan di Bumi Anbiya ini. Ini baru dijalanan, belum lagi di masjid-masjid, maqam-maqam para nabi-nabi dan wali-wali Allah, tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat pelancongan, kelas-kelas pengajian yang berpuluh kali ganda lebih menarik dari yang saya sebutkan sebelum ini.

                Mesir yang terkenal dengan Negeri Seribu Menara, sememangnya sangat banyak menara serupa menara azan masjid itu. Berkubah bulat, ditandakan hujungnya dengan ukiran bulan. Tinggi mencakar langit biru tanpa awan di Bumi ini. Masjid-masjid di Mesir sangat banyak, hanya berjalan tidak kurang 200m kamu akan temui masjid lain. Mungkin kerana kepadatan penduduk yang ramai di Kaherah ini menyebabkan masjidnya banyak dan dekat-dekat jaraknya. Dan hampir kesemua bangunan disini berwarna coklat-kelam, pudar, tetapi kaya dengan ukiran yang sangat terperinci dan halus. Dan itulah keistimewaan penduduk negara ini.


                Maqam-maqam para anbiya dan awliya (baca: nabi-nabi dan wali-wali Allah) pula sangat banyak di negara ini. Bahkan belum sampai kaki ini ke semua maqam-maqam ini. Terkadang didirikan maqam di dalam masjid, terkadang di kawasan perkuburan Mesir yang juga ajib, kuburannya berbangunan seperti rumah yang juga dikatakan orang-orang miskin yang tidak mampu membeli rumah tinggal di dalam kubur-kubur ini. Cuma sedikit sayang, maqam-maqam para anbiya dan awliya ini seolah tiada apa-apa. Seolah sekadar maqam, bahkan ada maqam yang kotor kerana tidak dihormati oleh masyrakat Mesir.

Majlis Habib Ali Al-Jifri

                 Yang paling menarik dan menambat hati saya di bumi Anbiya ini adalah majlis-majlis ilmu. Ianya berjaya menambat hati saya seawal tibanya saya di sini. Kelas-kelas pengajian yang sangat banyak bahkan selalunya terdapat dua atau tiga kelas, di tempat-tempat pengajian yang berlainan, pada waktu yang sama. Sangat menarik! Masyaikh dan para ulama yang sangat alim dalam ilmu mereka, juga sangat tawadhuk dan wara dalam muamalah (baca: pergaulan) mereka, sangat membenarkan apa yang saya baca dan dengar sebelum tibanya saya di sini. Masyaikh-masyaikh yang terkadang mengajar tanpa kitab; yang membuktikan ilmu itu sudah menjadi sebahagian dari mereka! mengajar dengan penuh tenang dengan gaya dan cara masing-masing. Setengah mereka menggunakan bahasa arab fushah (baca: bahasa arab rasmi) dan setengah yang lain pula menggunakan lahjah ammiyyah (baca: dialeg bahasa pasar mesir) yang agak sukar bagi sesiapapun pada mulanya.


Antara masyaikh kami, Syeikh Fathy Hijazi hafizahullah, seorang alim besar dalam ilmu nahu dan  balaghah

Antara masyaikh kami juga,  al-Muhaddith Syeikh Saad Saad Jawish 
Syeikh Athiyyah Abdul Maujud, alim besar dalam ilmu fiqh

                Masyaikh di sini mengajar di merata-rata pusat-pusat pengajian, ada yang mengajar di lebih dari empat tempat satu hari. Antara tempat pengajian yang masyhur di Mesir ini adalah Ruwaq-ruwaq di Masjid Al-Azhar sendiri yang menjadi tonggak keilmuan di Mesir ini, selain itu madhyafah-madhyafah kecil seperti Madhyafah Syeikh Ismail Al-Adawi, Madhyafah Syeikh Imran Dah, Madhyafah Syeikh Ali Jumuah dan lain-lain madhyafah. Selain itu sahah-sahah ilmu juga antara tempat-tempat pengajian yang menarik di Bumi Mesir ini. Antaranya Sahah Al-Yamani, Sahah Indonesi dan lain-lain. Selain itu usaha-usaha dari mahasiswa Al-Azhar sendiri menubuhkan pusat-pusat pengajian dan menjemput masyaikh ke tempat-tempat khusus, antaranya Ruwaq Jawi, hasil usaha abang-abang dari Malaysia, Ruwaq Sinni, yang ditubuhkan untuk orang cina, dan lain-lain usaha untuk melahirkan ulama yang mumpun dengan manhaj Al-Azhar yang terkenal sejak sekian lama akan tradisi keilmuannya.


Maktabah di Mesir

                Tidak sempurna jika disebutkan budaya ilmu di Mesir ini tanpa disebut maktabah-maktabah (baca: kedai-kedai buku) yang merata di Mesir ini. Sebut sahaja kitab apa yang masyhur yang kamu kenal, kamu -insha Allah- akan temuinya dengan toba’ (baca:cetakan) yang pelbagai. Maktabah yang menawarkan kitab-kitab thurath (baca:klasik) para ulama-ulama agung dahulu kala. Maktabah yang juga menghimpunkan ratusan naskah kitab-kitab, daripada tadris (baca: kitab belajar) sampai pada kitab mutholaah (baca: kitab bacaan) dan rujukan, semuanya boleh didapati dengan harga yang murah, jauh berbeza berbanding harganya di Malaysia.

                Budaya ilmu di Mesir ini yang buat saya jatuh cinta pandang pertama, kedua, ketiga dan keberapa kalinya pun pada bumi Mesir ini. Ilmu, Kitab, Ulama, Muhadhoroh, Daurah, Kelas-kelas pengajian, semuanya Berjaya mengambil hati saya untuk melihat bumi mesir ini pada warna pelangi yang cerah dan cantik, keluar daripada kegelapan dan kehodohan yang diceritakan oleh mulut-mulut dusta yang tidak pernah melihat keindahan dunia ilmu ini.

                Sedikit yang dapat saya kongsi dan bakinya kamu perlu hadirkan diri kamu ke sini dan lihat dengan ain zhohir kamu sendiri. Kemudian dari itu kamu akan melihat pula kecantikkan ilmu dengan ain qalbi kamu. Insha Allah. Saya sangat berharap agar budaya ilmu di Mesir ini saya dapat bawa balik ke Malaysia dengan bantuan sahabat-sahabat seperjuangan. Jauh lagi jalannya nak ke situ, perjalanan masih panjang, tetapi saya mohon doa daripada semua, buat saya dan teman-teman seperjuangan, agar terus istiqamah dan konsisten dengan matlamat dan niat kami di sini. Dan mudahan kami disimpangkan dari segala bala dan musibah, dan mudahan juga kami dijauhkan daripada malas dan lari dari matlamat dan niat asal kami di sini. Mohon doa semua J

                Akhir kalam, semoga ini bukan perkongsian terakhir dan mudahan saya ada dimudahkan untuk menulis lagi untuk kali yang seterusnya. Allahumma Amin.

9.57 pagi,
10 November 2016
Darrasah,
Kaherah, Mesir.

Doakan kami imtihan 31 Disember ini!




0 comment[s] | back to top